Followers

Wednesday, August 19, 2009

junk food????

topik kali nie I nak masukkan mengenai tabiat pengambilan makanan ringan...

yang x baik tuk di amalkan....

Oleh: S. ANAND KUMAR dan NURUL ANUAR KARI

KUALA LUMPUR 20Feb.– Percayakah anda bahawa terdapat sekurangkurangnya 200 jenis makanan segera yang amat digemari rakyat negara ini menjadi punca pelbagai penyakit kritikal penduduk Malaysia.

Mereka terdedah kepada makanan itu yang mengandungi kandungan lemak trans-fats, gula, garam dan bahan kimia yang tinggi. Ia juga dikategorikan sebagai ‘sampah’ dan mengancam kesihatan terutama kanak-kanak.

Penyakit-penyakit yang dicetuskan oleh makanan ini adalah kegemukan, diabetes, jantung dan kanser.

Apa itu makanan segera? Laman web Wikipedia merujuk makanan segera sebagai makanan yang dimasak terlebih dahulu dalam jumlah yang besar dan cuma perlu dipanaskan semula mengikut kehendak pembeli.

Ia biasanya tidak berkhasiat dan pendedahan mengenai keburukannya mengatasi kebaikan.

Dalam konteks Malaysia, ia bukan lagi datangnya dari restoran-restoran makanan segera yang lazim dikenali, tapi merangkumi makanan sejuk beku yang dipercayai mengandungi bahan pengawet yang berbahaya.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), antara makanan dan minuman segera yang dikategorikan sebagai tidak berkhasiat ialah mi segera, minuman bergas, gula-gula, burger dan coklat.

Makanan terbabit merupakan penyumbang kepada penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang yang dihidapi kira-kira tiga juta penduduk negara ini.

Malah, dua juta rakyat negara ini iaitu 8.5 peratus daripada 26 juta penduduk, didapati menghidap penyakit diabetes, yang kebanyakannya berpunca daripada makanan.

CAP dalam kajiannya turut mendapati hampir keseluruhan murid-murid sekolah menjadi sasaran kepada makanan segera dan terdedah kepada gejala penyakit kritikal itu sejak di usia muda.

Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, kandungan gula berlebihan dan pewarna tiruan merupakan antara ‘racun’ yang tersembunyi dalam makan segera.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar Shah Alam, Dr. Zulkarnain Ahmad Hamidy berkata, pengambilan makanan segera yang berlebihan dan malas bersenam akan menyumbang kepada obesiti yang menjadi punca segala penyakit termasuk darah tinggi, masalah jantung, kencing manis dan kegagalan buah pinggang.

Katanya, kebanyakan menu makanan segera mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi tanpa vitamin atau zat berfaedah terutama untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Beliau menjelaskan, kalori yang memasuki badan sukar untuk dibuang dan ini akan membawa kepada masalah kesihatan seperti kegemukan dan masalah jantung.

Menurutnya, sejumlah besar kalori dalam makanan segera tidak diperlukan dan akan mengganggu sistem metabolisme badan, seterusnya dikumpul menjadi lemak.

‘‘Oleh itu, amalan untuk mengekang pengambilan makanan segera perlu dimulakan dengan pendidikan golongan muda tentang pemakanan seimbang dari bangku sekolah lagi,’’ katanya.

Ibu bapa katanya, perlu menghentikan segera amalan ‘membesarkan’ anak-anak dengan makanan segera yang sememangnya diketahui mengandungi jumlah kalori yang tinggi.

Zulkarnain berkata, anak-anak tidak memahami baik buruk makanan segera tetapi tetap memilihnya disebabkan mentaliti yang diterap oleh ibu bapa masing-masing.

Pada masa yang sama, kajian CAP juga mendapati kanak-kanak yang gemar memakan makanan segera kurang aktif berbanding rakan sebaya mereka yang mengamalkan pemakanan sihat.

‘‘CAP mendefinisikan makanan segera sebagai ‘sampah’ kerana ia tidak berkhasiat dan boleh mendatangkan mudarat jika diambil dalam kuantiti yang banyak.

‘‘Pada kebiasaannya kanak-kanak yang mengambil makanan segera akan cepat kenyang dan tidak berselera terhadap makanan lain seperti nasi, sayur dan buah-buahan,’’ kata Mohamed Idris.

~~

21 Feb 2007

Oleh: AHMAD KAMIL MOHAMED



PAKAR-pakar pemakanan sependapat bahawa makanan segera mengandungi lemak, garam dan gula yang tinggi sehingga boleh memudaratkan pengguna. – Gambar Hiasan.

“SUDAH rasa produk terbaru Mc Donald’s ke belum, yang sedang hebat ditayangkan iklannya kat televisyen tu. Boleh tahan gak, cubalah.” Begitulah kata-kata yang terhambur dari mulut seorang kawan yang memang pencinta makanan segera.

Sayangnya, saya bukan kalangan peminat makanan segera. Begitulah kuatnya pengaruh iklan kepada orang ramai.

Memang tidak dapat dinafikan akan kehebatan iklan dalam mempengaruhi pengguna membuat keputusan untuk membeli produk atau perkhidmatan.

Antara yang menarik perhatian pengguna ialah iklan makanan segera di media cetak dan elektronik. Berbanding dengan kesan di media cetak yang mungkin tidak begitu hebat, pemaparan iklan makanan segera di media elektronik dilihat begitu kuat mempengaruhi pengguna.

Justeru itulah, syarikat-syarikat yang menerajui empayar makanan segera tidak teragak-agak membelanjakan jutaan ringgit ke atas iklan, penajaan dan promosi untuk menawan hati orang ramai akan kehebatan produk mereka.

McDonald’s, gergasi makanan segera umpamanya membelanjakan AS$ 1.8 bilion setahun untuk promosi dan iklan di Amerika Syarikat sehingga hampir semua kanak-kanak seawal dua tahun sudah mula mengenali watak Ronald Mc Donald’s arka emas.

Menariknya arka emas ini dipaparkan sebagai syurga yang menjamin hidup yang selamat, ceria dan penuh dengan keseronokan khususnya kepada kanak- kanak.

Restoran makanan segera dipaparkan sebagai tempat yang menarik bukan sahaja untuk menjamu selera malah sekali gus medan santai untuk seluruh keluarga terutamanya kanak-kanak yang turut disediakan kemudahan untuk bermain gelongsor dan sebagainya.

Dengan pengenalan produk-produk baru ditambah pula dengan ungkapan kata-kata yang cukup menarik, para pengguna yang taksub akan mudah terjerat dalam kemelut makanan segera. Untuk menambat hati golongan kanak- kanak pula, pemberian hadiah berupa permainan dijadikan umpan yang cukup berkesan.

Justeru, bagi ibu bapa yang sememangnya tidak berminat untuk ke restoran makanan segera mudah sahaja tewas dengan pujuk rayu si anak yang mengidamkan hadiah permainan yang ditawarkan itu.

Justeru cadangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk menghentikan iklan makanan segera yang disifatkan sebagai pembunuh senyap itu dan kesediaan Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menghentikan penyiarannya adalah satu langkah yang amat bijak dan perlu dilaksanakan segera bagi membantu masyarakat negara ini mengamalkan gaya hidup sihat.

Umum mengetahui bahawa makanan segera ini tidak mengandungi zat pun kecuali kandungan lemaknya yang tinggi di samping MSG yang menjadikannya begitu enak dan menerbitkan rasa ketagih di kalangan penggemarnya.

Namun pengetahuan terhadap mudarat makanan segera tidak berupaya membendung kegilaan orang ramai terhadap makanan segera yang kian bermaharajalela kini walaupun pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan pemakanan ini seperti obesiti, darah tinggi dan sebagainya.

Peranan yang dimainkan oleh persatuan pengguna seperti CAP dan FOMCA misalnya melalui penerbitan buletin pengguna, risalah-risalah yang acap kali mengutarakan bahaya yang terkandung dalam makanan segera seolah-olah dipandang sepi oleh sebahagian besar daripada kita.

Ini mungkin kerana tidak ada endorsement daripada pihak yang berkuasa seperti Kementerian Kesihatan berhubung kesahihan dakwaan tersebut selain daripada tiadanya kesan serta-merta yang dialami ekoran pengambilan makanan tersebut.

Ini ditambah pula dengan iklan melampau tentang makanan segera yang berupaya dengan mudahnya mengheret orang ramai terjebak dalam kegilaan makanan segera.

Rasanya, seketul ayam goreng KFC misalnya yang dikatakan sarat dengan lemak (hampir 60 peratus kalori diperoleh dari lemak) dan mengandungi begitu banyak garam.

Selain daripada kandungan MSG dan pewarna kimia tidak berupaya menyekat kegilaan orang ramai untuk menolak hidangan yang dipromosikan sebagai satu “kesedapan sehingga menjilat jari” Begitu juga pelbagai resipi menarik untuk memancing orang ramai yang dipaparkan secara berlebih-lebihan melalui iklan dilihat berjaya membuat penggila makanan segera untuk tidak mempercayai bahawa segelas kola misalnya amat kaya dengan gula sehingga mencecah 14 sudu teh gula selain daripada pewarna kimia dan kafein yang nilai makanan sebenarnya kosong!

Malah pakar-pakar pemakanan seluruh dunia berpendapat bahawa makanan segera memang memudaratkan. Misalnya Big Mac produk Mc Donald’s mengandungi 28 gram lemak tepu selain daripada pelbagai bahan yang memudaratkan kesihatan.

Apabila soalan ini diajukan kepada Mc Donald’s, mereka berkata, mereka tidak menjual zat makanan dan orang ramai datang ke Mc Donald’s bukan untuk zat makanan.

Lebih mengejutkan lagi apabila pakar kanser Mc Donald’s sendiri Dr. Sydney Arnott mengakui bahawa dia tidak keberatan untuk menghebahkan kepada umum bahawa makanan yang mengandungi lemak, garam dan gula yang tinggi tetapi kurang serat, galian dan vitamin dalam makanan segera Mc Donald’s memang ada kaitan dengan kanser sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Makanan segera sebenarnya sudah lama ditolak oleh masyarakat antarabangsa yang prihatin dengan kesihatan. Pada tahun 1990 misalnya, London Greenpeace telah mengedarkan risalah enam muka surat yang bertajuk “Apa yang tidak baik tentang Mc Donald’s - sesuatu yang Mc Donald’s tidak ingin anda mengetahuinya”.

Antara lain menjadikan isu bahaya makanan segera kepada kesihatan manusia sejagat selain daripada kesan terhadap ekosistem bukan manusia melalui penebangan hutan untuk mewujudkan ladang-ladang ternakan lembu seperti di Brazil justeru permintaan yang semakin meningkat untuk pasaran hamburger di Asia. Untuk itu United Kingdom dilaporkan mengorbankan 12,000 ekor lembu setahun dan bilangan ini pasti meningkat seiring kegilaan orang ramai terhadap makanan segera ini.

Justeru itu, amat malang sekiranya ketika kebanyakan negara lain di dunia sudah menolak makanan segera, kita di Malaysia masih lagi dibuai kenikmatan makanan segera yang sudah jelas lebih banyak mengundang mudarat daripada kebaikan!

Pun begitu kita masih belum terlambat untuk menyelamatkan generasi kita daripada bahana penjajahan melalui jenama yang didagangkan atas nama globalisasi ini. Menghentikan penyiaran iklan yang dilihat terlalu berlebihan terhadap mempromosikan budaya makanan segera sehingga melunturkan rasa cinta terhadap makanan Timur merupakan langkah amat bijak dan perlu disusuli dengan langkah seterusnya.

Untuk meyakinkan orang ramai terhadap bahaya makanan segera, persatuan pengguna perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Pelajaran dan juga Kementerian Penerangan melalui gerakan bersepadu supaya kegilaan terhadap makanan segera ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Lebih banyak klip video yang memaparkan mudarat makanan segera perlu disiarkan melalui televisyen.

Di sekolah pula, kanak-kanak perlu dididik agar tidak terlalu cenderung kepada makanan segera sehingga mereka lebih mengenali french fries dari kerepek ubi dan menggemari smashed potatoes daripada ubi ketuk!

- PENULIS ialah pensyarah Jabatan Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Segamat, Johor.

Makanan segera punca sakit jantung, diabetis – Pensyarah

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Makanan segera sememangnya enak dan mudah didapati tetapi ia berisiko kerana menjadi penyumbang tertinggi untuk ‘peminatnya’ mendapat pelbagai masalah kesihatan seperti sakit jantung dan kencing manis atau diabetis.

Pensyarah Program Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Wan Abdul Manan Wan Muda berkata, makanan segera yang dimakan biasanya akan berakhir dengan pakej air karbonat dan kandungan gula yang sangat tinggi dalam darah.

Beliau berkata, justeru risiko untuk menghadapi pelbagai penyakit sangat tinggi jika mereka yang mengambil makanan berkenaan langsung tidak bersenam.

‘‘Ia sememangnya jenis makanan yang mempunyai kandungan lemak, garam dan gula melampau,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan iklan makanan segera yang dilihat sebagai penyumbang kepada masalah kesihatan masyarakat negara ini.

Jelas Abdul Manan, saranan itu bertepatan dengan masanya kerana jumlah pengidap penyakit akibat pengambilan makanan segera yang turut bertambah.

‘‘Jika iklan tidak dapat dihentikan terus, sekurang-kurangnya pihak berkuasa dapat mengawal penyiarannya yang terlalu kerap sekarang.

‘‘Ganti iklan ini dengan pendidikan kesihatan agar masyarakat sedar tentang bahaya pengambilan makanan segera,’’ ujarnya.

Jelasnya, mentaliti masyarakat juga perlu diubah agar kemudahan penghantaran makanan segera ke rumah tidak dijadikan satu sebab untuk tidak bersenam dan beriadah.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Teknologi Makanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zainal Samicho pula berkata, kebanyakan penyakit kini berpunca daripada pengambilan makanan segera yang tidak terkawal.

‘‘Kita tidak nafikan ‘kelazatan’ makanan ini tetapi kesedaran daripada masyarakat tentang isi kandungannya perlu ditekankan.

‘‘Pembeli perlu sentiasa berwaspada tentang jumlah kolesterol, lemak dalam makanan segera agar dapat mengawal jumlah yang hendak diambil,’’ katanya.

Oleh itu katanya, masyarakat tidak seharusnya terlalu cepat terpengaruh dengan iklan makanan segera yang cuba menarik pelanggan dengan promosi yang menarik.

‘‘Apa yang penting, pengeluar makanan segera ini perlu memastikan setiap produk yang dihasilkan memaparkan label maklumat pemakanan dengan jelas di pembungkusan mereka.

‘‘Kementerian terlibat juga sentiasa memantau iklan serta makanan ini dan seeloknya menggantikan dengan promosi kesihatan dan pemakanan berzat,’’ ujarnya.

~~~

Sekian wassalam

Emjay


so....jangan la U all amalkan k....



No comments: